SARIKEI, 14 Mei 2025 — Kapasiti Loji Rawatan Air Bayong akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat peningkatan permintaan pada masa akan datang, jelas Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Loji tersebut merupakan infrastruktur utama dalam memperkukuh sistem bekalan air bersih untuk kawasan tengah Sarawak, terutamanya di Sarikei. Melalui kerja-kerja naik taraf bernilai RM68.4 juta yang dilaksanakan baru-baru ini, kapasiti pengeluaran air bersih loji tersebut berjaya ditingkatkan daripada 70 juta liter sehari (JLH) kepada 100 JLH.
Premier menyatakan bahawa peningkatan ini akan memastikan keperluan bekalan air bersih untuk kawasan sekitar dapat dipenuhi dalam jangka masa panjang secara berterusan dan stabil.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek berkenaan turut membuka potensi baharu untuk penggunaan sumber semula jadi di kawasan tadahan Bayong. Potensi ini termasuk menjana tenaga boleh diperbaharui melalui penggunaan turbin mini air.
“Terdapat kemungkinan untuk kita melaksanakan kajian perintis bagi menghasilkan tenaga elektrik dengan memanfaatkan aliran air dari loji ini. Tenaga yang dijana melalui turbin mini itu berpotensi membekalkan elektrik kepada penduduk sekitar,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Bayong, hari ini.